RAMADAN mempunyai banyak rahsia tersirat yang perlu dicungkil oleh umat Islam. Dalam melalui bulan penuh keberkatan dan kerahmatan ini, kita perlu insaf pelbagai tujuan Allah mensyariatkan puasa kepada umat Islam.
Dalam Ramadan terkandung banyak pengajaran dan iktibar yang boleh kita gunakan bagi melalui hidup ini dengan lebih sempurna.
Antara pengajaran itu ialah ingatan supaya kita tidak melakukan pembaziran dan boros dalam kehidupan.
Diriwayatkan daripada al-Mughirah bin Syu'bah katanya bahawa Rasulullah bersabda yang bermaksud: "Sesungguhnya Allah mengharamkan ke atas kamu menderhaka kepada ibu, menanam anak perempuan hidup-hidup, enggan memberi (menyedekahkan) miliknya tetapi meminta-minta milik orang lain dan ditegah ke atas kamu tiga perkara, iaitu mengada-adakan cerita, banyak bertanya dan membazirkan harta." (Hadis riwayat al-Bukhari).Salah satu perkara yang dinyatakan dalam hadis ini ialah larangan Rasulullah agar umat Baginda menjauhi pembaziran. Pembaziran ialah mengeluarkan wang atau menggunakan barang secara berlebih-lebihan.
Amalan membazir ini amat dilarang Allah hingga orang yang membazir itu disamakan dengan saudara syaitan.
Firman Allah yang bermaksud: "Sesungguhnya orang yang membazir itu adalah saudara-saudara syaitan dan syaitan itu adalah sangat ingkar kepada Tuhannya" (Surah al-Isra', ayat 27).Gambaran yang diberikan Allah terhadap orang yang melakukan pembaziran dalam ayat berkenaan amat keras kerana syaitan itu adalah makhluk yang paling ingkar terhadap perintah Allah. Ayat al-Quran dan hadis di atas juga menyatakan bahawa pemborosan dan pembaziran adalah perbuatan keji dan patut ditinggalkan oleh orang yang mengaku diri mereka benar-benar beriman dengan Islam. Dalam keghairahan umat Islam menyambut Ramadan dan kedatangan Syawal nanti, mereka tidak seharusnya lalai dan leka hingga melanggar etika berbelanja seperti ditetapkan oleh Islam, terutama boros dalam perbelanjaan.
Jika berbuka jangan keterlaluan, biarlah bersederhana.
Meskipun berbelanja berlebihan adalah hak golongan berada, pada hakikatnya Islam memandang perkara ini sebagai suatu pemborosan melampau yang membawa kepada pembaziran.
Baginda melarang amalan pembaziran dan tidak pernah melakukan sesuatu perbelanjaan yang melampaui batas. Perkara ini ada dijelaskan dalam hadis yang bermaksud : "Ketika Mu'awiyah berkunjung ke Kufah, maka Abdullah bin Amr bercerita mengenai Rasulullah, katanya Rasulullah tidak pernah melampaui batas dan tidak pernah melakukan perkara keji. "Beliau juga berkata: Rasulullah bersabda: "Sesungguhnya orang yang paling baik antara kamu adalah orang yang paling baik budi pekertinya." (Hadis riwayat al-Bukhari).
Sikap Rasulullah seperti dijelaskan dalam hadis ini sepatutnya dijadikan ikutan dan teladan oleh semua umat Islam.
Dalam pada itu, pemborosan juga berlaku dari aspek ingin menceriakan perasaan anak.
Ada segelintir ibu bapa yang melaburkan wang ringgit semata-mata untuk membeli mercun dan bunga api demi menggembirakan anak.
Justeru, setiap Muslim perlu sedar bahawa Ramadan yang telah dilalui ini banyak mendidik agar sentiasa berjimat-cermat dalam berbelanja.
Berbekalkan didikan sepanjang Ramadan, maka gunakanlah untuk mengharungi kehidupan dalam sebelas bulan yang akan datang.
Oleh itu, alangkah baiknya jika kita membanteras amalan pemborosan dan pembaziran yang keji itu dengan menggalakkan amalan kebajikan, seperti bersedekah.
Sedikit bantuan atau sumbangan yang dihulurkan kepada golongan yang tidak berada, ada disediakan ganjaran pahala di sisi Allah. Mereka juga akan menghargai pemberian itu dan merasakan kita sentiasa mengingati mereka.
No comments:
Post a Comment