*sumber fb* |
Kasih yang aku kira perlu aku
lempiaskan pada seseorang yang lain selepas ibubapa dan keluarga serta diriku
sendiri...
Ya.. cinta pada manusia biasa
yang namanya lelaki kerana aku diciptakan sebagai seorang perempuan...
Umur yang semakin berinjak jauh
meninggalkan alam remaja dan sekarang di dalam fasa kedewasaan memungkinkan aku
berfikir tentang urusan jodoh. Seringkali persoalan itu ditanya kepadaku oleh
teman-teman sekuliah dahulu.
"Tak ada buah hati ke?"
"Takkanlah tak ada yang
minat dengan perempuan pandai macam kau ni?"
"Kau ni jual mahal sangat
kot?"
"Bergayalah sikit, bagi
cantik, mesti nanti ada yang terpikat kat kau.."
"Aku sudah, kau bila
lagi?"
Aduh... mahu melayan satu-persatu
pertanyaan mereka memang tidak terjawab. Paling mudah untuk kukatakan ketika
itu,
"Belum jodoh lagi.."
atau aku katakan pada mereka,
"Belum bersedia lagi..
.nanti dah ada calon, akan diberitahu kelak".
Berbicara tentang cinta memang
tidak akan pernah habis. Semasa di universiti dahulu seringkali aku melihat
pasangan yang kononnya sedang 'hangat bercinta' bertengkar atas perkara-perkara
yang kecil.
Kadang-kadang aku ketawa
sendirian apabila melihat adegan pujuk-memujuk persis lakonan di dalam filem
Hindustan yang kutonton di televisyen. Bermacam-macam gaya yang ada apabila si
lelaki cuba memujuk si wanita atau si wanita yang cuba memujuk si lelaki. Aku
menggeleng-geleng kepala melihat gelagat mereka dalam tawa. Perkara yang padaku
tidak wajar dilakukan apatah lagi pasangan itu masih belum punyai ikatan yang
sah dan halal di sisi Islam sedangkan si wanita bertudung dan si lelaki bersongkok.
Aku pernah dilamar seorang lelaki
pada perkiraanku dapat melengkapi kekurangan yang ada pada diriku. Tentu sahaja
aku mencari seorang lelaki yang mudah tersenyum, tegas dalam kelembutan, lucu
dan bisa membuatku gembira, dan yang paling penting dia seorang yang sangat
menjaga solatnya dan ibadahnya. Cukup padaku itu dan aku telah bertemu
dengannya. Tapi, seperti yang kukatakan sebelum ini, cerita ini tentang
jodoh...
Arakian, aku dilamar aku menolak
dengan lembut atas alasan kerana mahu menumpukan perhatian kepada pelajaran dan
kuliah. Ini amanah yang kupegang sejak mula aku menjejakkan kaki ke menara
gading. Aku tidak suka berpacaran kerana pada aku ianya tidak wajar.
Kukatakan pada lelaki itu,
sekiranya benar dia menginginkan aku menjadi suri hatinya maka tunggulah
sehingga aku dan dia selesai bergraduasi. Kukatakan juga bahawa aku tidak suka
keluar berdua-duaan. Sekiranya seorang lelaki itu benar mahu memiliki hatiku
maka dia perlu memahami bahawa dia perlu lebih serius untuk mengatur masa
depannya berbanding berpeleseran tanpa hala tujuan yang jelas.
Hubungan yang dijalin tanpa ada
matlamat yang jelas bukanlah satu perhubungan yang bersungguh-sungguh tetapi
hubungan yang terang-terangan berlandaskan nafsu semata-mata.
Sekali lagi kukatakan di sini,
ianya soal jodoh. Allah punya perancangan yang lebih menarik untukku, terserah
padaku sahaja sama ada mahu mencari hikmah yang tersembunyi atau membiarkan
diriku sendiri tertanya-tanya mengapa kesudahannya begini dan begitu...
Lelaki itu tidak sanggup menunggu
lantas mengambil keputusan mencari yang lain...
Aku sedikit kecewa namun
kubisikkan pada hati agar redha dengan ketentuan Ilahi. Dalam melayari
kehidupan dan mehnah, aku belajar pelbagai perkara. Setiap hari aku belajar dan
adakalanya mengajarkan sesuatu kepada yang lain. Benar, usia yang semakin
bertambah membuatkanku berasa gusar kerana masih tidak dipertemukan jodoh.
Hidupku banyak dihabiskan dengan
bekerja sebaik sahaja menamatkan pelajaran di universiti. Rakan-rakan lain
ramai yang berlumba-lumba mendirikan rumahtangga dan aku masih lagi sendiri.
Agak sunyi tapi kutabahkan hati supaya aku tidak menjadi seorang yang terlalu
menurut nafsunya.
Tiba saat rezekiku dilebihkan
Allah di mana aku diterima bekerja sebagai salah seorang pegawai psikologi.
Tidak perlu aku ceritakan dengan tepat di mana aku ditempatkan. Sejak pertama
kali aku menjejakkan kaki di sini, tidak pernah terlintas di fikiranku untuk
mencari pasangan hidup. Niatku hanya mahu bekerja kerana Allah, mencari rezeki
untuk keluargaku agar kami dapat hidup dengan lebih selesa.
Sukacita sekali lagi aku
maklumkan, bahawa ini semua urusan jodoh. Jodoh yang tertulis kemas di luh
mahfuz, Salah satu rahsia agung yang tersembunyi dari pengetahuan hamba-Nya
selain urusan umur, rezeki dan maut.
Salah seorang daripada orang
bawahanku yang usianya lima tahun lebih tua dariku dan tentunya seorang lelaki
benar-benar membuatkan jiwaku bergetar. Entah kenapa, tapi aku takut ianya
melalaikan dan bisa menghumban diriku ke lembah kehinaan. Takut untuk
terjerumus di dalam zina hati.
Lelaki itu kerapkali mengujiku
dengan pelbagai pertanyaan. Tingkahnya yang kadang-kadang membuatku
tertanya-tanya kenapa dia perlu bersikap sedemikian denganku dan tidak dengan
perempuan-perempuan yang lain di pejabat. Aku positifkan fikiran, mungkin juga
kerana aku adalah orang atasannya dan wajar saja dia menghormatiku lebih
daripada yang lain. Mungkin.
Satu hari, dengan izin Allah jua
ianya terjadi, ketika sedang enak menjamu selera bersama rakan-rakan sepejabat
pada waktu malam, satu rahsia tersingkap. Salah seorang rakan pejabatku
bertanyakan sama ada aku sudah punya kekasih hati atau belum. Satu soalan yang
kukira agak lucu untuk ditanya. Aku senyum dan menggeleng.
Dia kemudian berkata, ada
seseorang yang dekat denganku ingin menjalinkan hubungan yang lebih rapat dan
serius. Aku dapat mengagak tapi aku meminta kepastian darinya. Nah! Jelas
bahawa lelaki di pejabat yang sama yang kuceritakan sebentar tadi. Tepat
telahanku kali ini. Firasatku jarang tersasar apatah lagi jika aku mohon agar
Allah membimbingku agar aku tidak menjadi orang yang berprasangka yang tidak
baik kepada orang lain.
Hatiku menguntum senyum. Tentu
saja rasa suka apabila diri disukai oleh orang lain yang bergelar lelaki. Aku
senang sahaja bekerja dengannya. Selalu di dalam doaku di mana aku memohon agar
aku dijodohkan dengan seseorang yang baik akhlak dan agamanya, bersederhana
dalam segala urusan, dan bonus bagiku sekiranya lelaki itu seorang yang sedap
mata memandang...
Lelaki itu juga hingga sekarang
masih mengujiku dengan pelbagai pertanyaan. Aku cuma menjawab pertanyaannya
sekadar yang kumampu dan hingga saat ini tidak pula dia menyatakan sendiri
kepadaku bahawa dia punya 'perasaan' padaku. Aku juga begitu, walaupun setiap
kali bertemu jiwaku rasa tenang dan gembira.
Namun cepat-cepat aku sedarkan
diri, khuatir kerana dia bukan siapa-siapa denganku malah bukan mahramku yang
layak untuk aku fikirkan tentangnya. Aku cuba tidak memandang tepat ke matanya
kerana fitrah kewanitaan dan keperempuanan yang malu dan masih menebal dalam
diri menjadi perisai iman yang aku takut makin terhakis.
Cuma satu yang ingin kupesan pada
rakan-rakan di luar sana yang masih belum punya 'pacar'.
Usah gusar dan khuatir.
Kamu tidak perlu merendahkan
martabat diri demi untuk meraih cinta seorang lelaki. Ketahuilah, manisnya dan
cantiknya seorang perempuan itu terletak pada taqwanya, hatinya yang sentiasa
tunduk malu pada perkara-perkara yang tidak patut.
Aku tidak menyatakan yang aku ini
tidak pernah berbuat dosa tapi aku berusaha untuk memperbaiki diri dan cuba
mengelakkan diriku daripada tergelincir ke arah itu.
Ingat, jika ada lelaki yang
menyatakan dia menyukai kamu, tanyakan kembali apa yang dia mahukan daripadamu.
Jika dia sekadar ingin bersuka-suka dan punya pacar persis seperti teman-teman
yang lain maka jauhkanlah dirimu daripadanya.
Sekiranya dia benar-benar serius,
mahu mengikat tali perkahwinan, punya kedudukan kewangan yang kukuh dan latar
belakang keluarga yang menyamankan dan mendamaikan dirimu maka pertimbangkanlah
permintaannya untuk menjadikan dirimu itu sebagai suri hidupnya.
Sekadar bercerita tentang jodoh.
Sungguh betul, ianya urusan rahsia antara yang tersulit sekali di dalam
keterbatasan pengetahuan manusia melainkan dengan izin-Nya.
Harus diingatkan, walaupun ianya
urusan Allah, namun kita tidak pula diperintahkan untuk sekadar menanti dan
berpeluk tubuh. Proaktif itu perlu. Carilah jodoh dengan cara yang diizinkan
dan diredhai Islam atasnya kerana dengan itu moga hubungan kalian nanti juga
akan direhai Allah, Insya-Allah.
Sekadar perkongsian rasa dengan
rakan-rakanku tentang urusan jodohku yang masih lagi samar. Moga sahaja Allah
membantu di dalam urusan yang berkaitan dengannya dan menjauhkan aku daripada
melakukan kemaksiatan hati mahupun tingkah perbuatan secara sir (rahsia)
mahupun secara jahr (terang-terangan).
Jika benar lelaki itu jodoh yang
dikirim Allah untukku meraih cinta yang lebih besar yakni cinta Ilahi maka aku
redha.
Aku tidak mahu mengatakan bahawa
aku ikhlas menerimanya kerana perkara ikhlas itu milik Allah yang tiada manusia
berhak menyatakan bahawa dia ikhlas. Biar Allah sendiri yang menghukumkan
tentang itu.
Buat rakan-rakanku yang mungkin
sedang mencari jodoh atau telah bertemu jodoh, aku doakan agar kalian
memperoleh jodoh sepertimana yang diinginkan olehmu.
Ketahuilah bahawa Allah memberikan
apa yang kita perlu dan bukan yang kita suka kerana mungkin saja sesuatu yang
kita suka itu akan menjadi satu keburukan suatu hari nanti.
Pasangan kita moga terdiri daripada
si dia yang 'melengkapkan' kekurangan yang ada pada diri masing-masing agar
kita lebih mudah berjuang meraih cinta-Nya....
Menantikan kalimah cinta daripada
insan yang dicinta... moga kami meraih cinta-Nya, amin.
No comments:
Post a Comment